27 September, 2011

Kari Ikan

Teringat masa mula saya belajar masak kari di rumah bujang saya di Sarawak dulu, saya masak kari 3 hari berturut-turut. Saya minta maaf pada rakan serumah, saya kata saya tengah belajar, jadi saya kena buat sampai dapat. Nasiblah hari-hari kari ke kari. Di Sarawak dulu seronok masak kari sebab senang nak dapat kepala ikan di pasar Sarikei atau Sibu. Harga murah. Orang sana pun tak berapa nak makan kepala ikan. Isteri saya, orang Kuala Kangsar, kalau masak kari memang saya tak boleh lawan orang utara ni. Kalau masak kari ikan, siap dengan rempah halba campur.

Kari Kepala Ikan

1 kg kepala ikan
1 peket kari ikan (rendam dalam air menjadi pes)
bawang besar
1/2 inci halia
air asam jawa
sedikit santan (kalau orang Penang guna tairu atau susu masam)
Daun kari
1 sudu halba campur
garam secukup rasa
Beberapa helai daun kari

Panaskan minyak dalam periuk atau kuali. Kalau nak kari lebih sedap lagi, orang kata guna belanga.
Tumis bawang besar. Ada juga yang suka guna bawang kecil 3 ulas dan seulas bawang putih. Ikut selera masing-masinglah. Kalau ikut malas, guna bawang besar, senang sikit nak buang kulit.
Masukkan kayu manis, bunga lawang dan buah pelaga. Ada tukang masak yang gelar rempah ni 3 sekawan, mesti bersama. Masukkan juga daun kari. Selepas terbit bau, masukkan pes kari. Kacau sampai terbit minyak. Pes kari ini dibuat dengan mencampurkan sepeket rempah kari dengan air. Janagn sampai banjir. Bubuh air asam pun boleh. Ada orang kata pes di kalau dibuat awal semalaman lagi sedap.

Selepas tumisan kari naik minyak, masukkan air asam. Kalau guna santan, atau tairu boleh masukkan sekarang. Kacau. Bila dah mesra dan kuah kari menggelegak, masukkan kepala ikan. Masukkan garam secukup rasa. Kalau ada bende atau terung, boleh masukkan sekali. Jerang sampai masak.

1 ulasan:

  1. Ada pembetulan sikit...herba yang digunakan biasanya adalah halba campur kalau nak masak kari ikan. Kayu manis, buah pelaga dan bunga lawang digunakan kalau nak masak kari daging atau kari ayam...yea chef!
    Malam ni kita buat BBQ, tangkap ikan patin & tilapia kat kolam kita tu...Kelass gitu!!!

    Menarik juga blog ni. Gambar dapur kat atas tu nampak cantik la. Macam tak caya je dapur rumah kita...siape lagi nak puji...ngeh..ngeh..

    BalasPadam