27 April, 2012

Esok saya tinggalkan Mersing. Macam tahun 1986 dulu, saya tinggalkan Mersing selepas 2 minggu bercuti di Pulau Tioman. Kali ini saya tinggalkan Mersing selepas 3 hari mengajar Pengetua dan Guru Besar Mersing.

Pertama kali saya datang ke Mersing, 26 tahun dulu. Mersing pekan yang kecil. Saya naik bas dari Kuala Lumpur jam 11 malam. Turun di Keluang jam 3 pagi pagi. Terkial-kial seorang diri di Stesyen Bas Keluang menunggu jam tujuh pagi untuk bas pertama ke Mersing. Sampai di Mersing, disambut ulat menjual chalet dan bot untuk ke Tioman.

Kali ini saya memandu ke Mersing. Jam 11 pagi dari Puchong. Ikut Lekas ke Kuala Pilah, Serting Ulu dan berhenti makan tengahari di simpang Bandar Muadzam. Makan nasi berlauk kari daging cincang. Lama dah tak makan daging cincang yang sedap. Saya sungguh berselera, walaupun panas makan di gerai berbumbung zink.

Dari Simpang Muadzam saya meneruskan perjalanan ke Rompin. Kiri kanan kelapa sawit lambai melambai. Tanah Felda. Lepas 2 jam saya sampai ke Rompin. Masuk jalan tepi pantai. Jalan luas 2 lorong, terus ke Endau. Saya sampai ke Mersing pukul 4.30. Kami singgah di PPD jumpa pegawai Latihan, En Jamaludin yang segak bergaya.

Selepas sedikit perbincangan, En Jamaludin mencadangkan kami tinggal di Hotel Timota atau Hotel Havanita. Ganjil-ganjil nama hotel di Tioman. Hotel Timota penuh, kami ke Hotel Havanita.

Kami menginap di Hotel Havanita yang nampak biasa, di tepi jalan menghala ke Endau. Satu km dari pekan Mersing. Semalam RM 140.00, goverment rate. Senang saya berulang alikke PPD lebih kurang 3 km. Tengah hari pun sempat balik hotel jamak zuhur dan asar.

Mersing sekarang sibuk, dah ada KFC dan Merry Brown. Semasa saya ke pekan lepas Isya' tadi, ramai yang beratur di KFC. Semalam hari gaji. Malam ni  alam Jumaat pulak.Senang pergi KFC, anak seronok, ibunya pun seronok tak payah masak. Si bapa lagi seronok, pelan lancar. Saya yang berjauhan dari keluarga ni tulis blog ajelah.





26 April, 2012

Pengurusan Berkesan Mengguna ICT di Mersing

Pernah seorang Penolong Kanan di Negeri Sembilan yang saya beri kursus tentang Twitter dan Blogspot, memberitahu saya " anak saya kata ibu tak payahlah belajar Twitter dan Blog. Ini untuk orang tua saja".

Terkedu juga saya dengar. Kemuadian saya rasionalkan penolong kanan tersebut. Kata saya,puan sebagai pemimpin, puan berperanan membawa organisasi pimpinan puan ke satu destinasiyang dihajati. Mesti ada agenda. Perlu ada propaganda.

Blog dan Twitter, selain alat komunikasi moden, boleh dijadikan alat propaganda untuk mempengaruhi yang dipimpin, kata saya. Beliau setuju. Anak beliau pun setuju bila diceritakan semula rasional saya.

Sudah 4 hari saya di Mersing, bersama seorang kawan lain mengajar Pengurusan Berkesan Mengguna ICT kepada Guru Besar dan Pengetua. Kursus dilaksanakan di PPD Mersing. E. Jamaluddin, Pegawai Latihan dan En. Azman, pegawai ICT banyak membantu. Kursus tamat petang tadi.

Saya mengajar Twitter dan Blogspot. Masa mengajar Twitter, capaian Internet tidak beberapa baik. Masa saya cuma 2 jam. Alhamdulillah, sempat juga mereka buka akaun.

Dua jam lagi saya ajar Blogspot. Jelas keseronokan peserta kursus, puas hati berjaya membuat blog sendiri. 

24 April, 2012

CD-Hayat: Komputer Tanpa Hard Disk

Sekarang saya sedang cuba menulis buku. Buku ini tentang penemuan saya menggunakan komputer tanpa cakera keras (hard disk). Saya percaya buku ini dapat membantu orang ramai yang kerosakan hard disk.

Pengalaman saya menggunakan komputer tanpa hard disk bermula apabila hard disk laptop saya rosak. Bukan rosak teruk sangat, tetapi laptop Acer saya memberi amaran 'SMART failure predicted on hard disk.

 Selepas menerima amaran tersebut, terus laptop saya tidak boleh boot. Saya ke kedai komputer, tanya harga hard disk baru. Masa tu harga RM160.00. Mahal, saya tangguh dulu. Baru-baru ini saya tanya semula, harga naik sampai RM 280.00. Alasannya banjir di Thailand. Masalah kalau macam ini.

Teringat saya pernah guna sistem operasi Ubuntu yang boleh boot dari thumb drive, saya pun mula Google cara terbaik untuk mengatasi masalah saya.

Laptop saya cuma ada 512MB RAM, tak sampai 1 G pun. Jika saya guna Linux versi  Ubuntu perlahan sedikit. Ini adalah kerana Ubuntu sudah menjadi Sistem Operasi yang canggih, memerlukan ruang memori yang lebih besar untuk beroperasi. Ini tidak menyelesaikan masalah saya.

Pilihan yang ada ialah saya oleh guna Linux Puppy. Saya dengar kawan kata sistem operasi Linux Puppy sesuai untuk komputer lama.

Saya pun mula menggoogle Linux Puppy. Akhirnya saya dapat membina live CD Linux Puppy. Komputer boleh boot terus dari CD.  Saya jenamakan life cd sebagai CD-Hayat. Saya terus jatuh cinta pandang pertama dengan Linux Puppy bila saya mula guna CD-Hayat ini. Pertama sebab ia sangat ringan.

Antaramuka desktop Linux Puppy


Linux Puppy memuatkan semua aturcara ke RAM, menyebabkan proses menjadi sangat cepat. Aplikasi dapat dilancar dengan pantas.


Dengan CD-Hayat, laptop saya beroperasi dengan lancar, tanpa hard disk. Masalah saya selesai. Masalah baru nak sesuaikan diri dengan antaramuka Linux Puppy. Bukan masalah sangat pada saya. Pada pandangan saya, bila guna komputer kita mesti fleksibel. Tak boleh terikat sangat dengan Microsoft.

Apa yang membuatkan saya lebih gembira, CD-Hayat membuat capaian Internet dengan mudah boleh dilaksanakan. Tidak kira jika guna  wifi atau kabel. Jika saya capai intenet dengan kabel UTP, cucuk saja terus dapat. Tak payah ubah apa-apa setting.

Kerja dengan dokumen saya guna Abi Word. Macam Microsoft Word 2003 dulu. Yang penting, bila nak save, save sebagai .doc. Tak ada masalah untuk buka semula fail menggunakan Microsoft Word. Saya juga boleh gunakan perisian Gnumeric untuk kerja-kerja hamparan elektonik. Gnumeric berfungsi sama macam Ms Excel.