23 Oktober, 2011

Air Asam Ikan Bakar

Tengah hari tadi saya bakar ikan talipia yang saya beli di Temerloh, lepas habis beri kursus Persembahan Berkesan Menggunakan ICT. Sempat saya singgah ke Pasar Temerloh beli ikan patin dan talipia. Kata yang berniaga, ikan-ikan itu dipelihara dalam sangkar di Sungi Semantan.

Hari Jumaat malam lepas saya kukuskan seekor talipia. Anak sulung saya Aida makan sampai hirup kuah di pinggan. Tadi saya panggang seekor lagi talipia. Lumur talipia dengan kunyit, garam dan cili. Bungkus dengan daun pisang. Panggang atas api. Yang saya nak kongsi cara buat air asam.

Resepi ini saya ambil dari arwah emak. Memang sedap. Terasa pedas, manis dan masamnya. Kalau nak cuba, inilah caranya:

12 biji cili api
2 biji bawang kecil
1 mangkuk kecil air asam jawa
2 sudu gula
Garam secukup rasa
1 sudu kicap

Tumbuk bawang dan cili api sampai lumat. Masukkan dalam mangkuk.
Tuang air asam jawa. Masukkan gula. Kacau sampai gula hancur.
Masukkan garam. Lepas tu masukkan sedikit kicap.

Bilangan cili, air asam dan gula boleh disesuaikan ikut daya tahan dan cita rasa.

Cubalah sendiri. Kalau buat berniaga ikan bakar pun laku, insyaallah.

Kak Nita hendak pergi India

Dua bulan lepas isteri saya minta izin untuk mohon Training Program on Fertilizer Quality Control di Faridabad, India selama sebulan 5 hari. Tanpa was-was, saya izinkan. Terperanjat Kak Nita. Tapi izin bersyarat. Mana tau nanti saya kena kursus ke luar negeri lagi, dia pun mesti bagi greenlight.

Saya izinkan sebab nak tingkatkan kerjaya, perlu ambil peluang yang boleh meningkatkan profesionalisme kita. Kena tambah nilai kita sebagai pegawai. Bila ada peluang tambah ilmu, kena rebut.

Isteri saya bertolak lepas raya haji. Selamat, tak payah balik kampung. Jimat bajet.

Nasib baik juga dah dekat cuti sekolah. Susah-susah duduk kat Cheras dengan abah. Masalahnya siapa pulak nak bagi arnab makan. Habis bunga yang kembang di taman tak bersiram.

Masalah yang paling besar nanti nak jemput bibik pagi-pagi buta sebelum saya pergi kerja. Pagi-pagi bibik takut datang sendiri. Dia kata banyak anjing. Saya pula kena keluar rumah sebelum 6.30 pagi untuk sampai ke pejabat di Genting Highlands sebelum jam 8.00. Nasib baik MRR2 tak sesak lagi di Pandan Indah.

Lama jugak sebulan 5 hari tu. Kesian pada anak-anak terutamanya Aira yang baru setahun tercari-cari mamanya. Papanya pulak sebulan peluk bantal. Apuu, kata orang Iban.

Ikan Tamban sedapkan Mee Goreng

Nak sedapkan mee goreng yang anda masak? Cuba tumbuk ikan tamban kering dan tumis dengan bawang dan cili. Kalau guna ikan tamban, tak payah guna air rebusan tulang pun mee anda masih sedap. Mesti habis laku mee goreng yang anda masak.

Caranya ambil 7 ekor ikan tamban. Selepas tumbuk bawang, anda boleh tumbuk ikan tamban ini hingga hancur. Ikan tamban yang telah ditumbuk hancur ini ditumis bersama bawang dan cili sebelum anda masukkan mee ke kuali.

Cubalah resepi ini. Ada juga yang gunakan ikan masin sebagai perencah mee goreng. Arwah emak dulu tumbuk udang hidup sebagai perencah untuk dtumis dengan bawang dan cili.

19 Oktober, 2011

Ikan Patin Temerloh

Minggu ini saya mengajar Pengetua dan Penolong Kanan sekolah di PKG Mentakab, saya tinggal di Hotel Jelai, Temerluh. Bandar Patin. Dalam perjalanan ke sini, selepas keluar tol Temerloh, banyak gerai-gerai kecil di tepi jalan yang menjual patin dan talipia segar. Balik nanti boleh beli sekilo dua.

Petang tadi lepas mengajar, Cikgu Ridhuan, Penolong Kanan Kokurikulum ajak minum cendol di Bandar Mentakap. Restoren mamak. Cendol dicampur agar-agar merah. Boleh tahan jugak. Lepas minum cendol, saya dengan kawan, Zorkarnain balik ke Temerloh, kira-kira 8 km dari Mentakap. Kami tidak ke hotel terus, sebaliknya merayau mencari kedai makan berhampiran sungai Temerloh.

Awalnya saya beritahu Zorkarnain, kita tengok-tengok kedai sahaja dulu sebab perut senak lagi baru minum cedol. Malam baru datang semula unuk makan. Sampai di kedai yang dicari, kami ubah fikiran, nafsu teruja untuk makan terus. Nanti malam tak payah keluar lagi, rasional kami. Kuat betul tarikan patin ini.

Kami minta nasi separuh pinggan. Zorkarnain ambil ekor patin, ekor terakhir yang dihidang. Pinggan satu lagi ada ekor patin juga, tapi patin buah.

Ada udang galah masak lemak. Tanya tuan kedai, harga RM 20 seekor. Teringat di Sarawak dulu mewah makan udang galah, RM 15 sekilo. Ada udang yang dituba dengan racun koko. Tapi bila dah merah menyala kulit udang digulai, racun koko pun tak apa. Pening-pening sikit lepas makan. Itu zaman muda-muda dulu.

Saya ambil ekor patin buah masak tempoyak. Ambik 2 potong petai, Zorkarnain ambik kerdas. Saya beritahu saya tak pandai makan kerdas.

Patin yang sudah dipanas semula dihidang kepada kami dalam 2 pinggan. Satu untuk saya, satu untuk Zorkarnain. Terasa pedas gulai tempoyak yang dimasak pekat. Sesuai sangat dengan selera saya dai Beranag dan Zolkarnain, orang Negeri Sembilan. Zolkarnain laju mencubit patin. Saya baru dua kali mengoyak daging patin yang melepak putihnya, Zolkarnain dah habiskan sebelah daging patin. Besar selera lebai ni.

Daging putih patin digulai tempoyak saya cubit sedikit-sedikit. Sayang kalau cepat habis. Kami makan berselera sekali petang ini. Lupa kenyang perut yang senak dengan cendol mamak di Mentakap.

Masa makan, seorang pun tidak bersuara. Takut hilang sesaat nikmat patin yang kenyal dikunyah. Memang sedap patin Temerloh. Celah-celah tulang patin ada darah merah, tanda segarnya patin yang dimasak. Sedap punya pasal, saya abaikan darah itu. Kuah tempoyak saya hirup, jauh sedap dari yang dimasak bibik di rumah.

Ada dengar peserta beritahu patin kukus tom yam di Temerluh. Patin Pak Usop tepi sungai laku 2 periuk besar sehari belum dicuba lagi.

08 Oktober, 2011

Talipia Goreng Masam Manis

Ikan talipia memang kegemaran saya semenjak kecil. Masa baru pindah ke Cheras Baru tahun 70an dahulu, saya dengan kawan-kawan kalau memancing di lombong, memang selalu dapat talipia. Kalau di lombong memang banyak ikan talipia hitam, tak ada talipia merah masa itu. Yang paling senang dapat pun memang ikan talipia. Tapi selalunya yang kecik-kecik. Bawak balik rumah, emak goreng berlada. Sesekali mak masak talipia gulai cili api pun sedap. Kalau pergi pasar sekarang ini, talipia adalah antara ikan yang paling murah. Kalau yang hitam dapat RM5 sekilo. Sama harga dengan ikan keli. Kalau talipia besar, lagi mahal harganya. Rasa talipia yang lebih besar memang lebih sedap. Tetapi yang popular sekarang talipia merah, mahal sedikit dari talipia hitam. Kalau yang besar boleh sampai RM 14 sekilo. Ramai yang suka makan talipia merah, tapi bagi peminat talapia hitam, rasanya memang lebih sedap dari talipia merah, kerana ada karektor tengit yang tersendiri. Peminat sahaja yang tahu.

Minggu lepas saya keringkan kolam ikan depan rumah. Saya bela talipia merah dengan patin. Ikan dalam kolam saya memang sedap sebab kolam simen, tapi tak tahan bela talipia sebab najisnya banyak. Teruk nak bersihkan kolam tiap-tiap minggu, air keruh jugak. Siang tadi adalah lagi stok talipia yang belum dimasak, saya goreng masam manis dua ekor. Memang tak cukup.

Cara memasak ikan talipia goreng masam manis

2 ekor talipia merah, perap dengan kunyit sekejap. Kalau buat cara cina, guna tepung jagung nak bagi ikan itu rangup
2 sudu cili mesin
2 sudu cili sos
2 sudu tomato sos
1 sudu sos tiram
sedikit tepung jagung
3 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1 sudu gula
Sedikit garam

Goreng ikan dalam kuali, dah masak asingkan ikan.
Bawang putih dan halia dicincang lumat. Tumis dalam kuali. Bila sudah tebit bau, masukkan 2 sudu cili mesin. Bila terbit minyak masukkan 2 sudu tomato sos dan cili sos. Kalau tak ada tomato sos, boleh juga masukkan sebiji tomato yang telah dilenyek sedikit. Kemudian masukkan sedkit sos tiram. Taburkan sesudu gula dan garam. Sebelum kering, masukkan 1/2 cawan air tepung jagung dan kacau. Bila sudah menggelegak, tuang atas ikan yang telah digorebg tadi. Memang sedap.

Cekodok hitam

Pagi-pagi lagi Bibik dah telefon, tak dapat datang sebab demam. Kalau hari Sabtu, memang macam itu lah selalu. Ada saja alasan Bibik untuk tak datang bekerja. Kak Nita pulak ada kerja kat opis. Lepas masak cekodok hitam, Kak Nita terus cabut ke tempat kerja. Cekodok hitam memang favourite anak-anak. Cekodok hitam sebab campur air gula merah. Anak-anak panggil cekodok hitam. Cara masak senang je.

Bahan-bahan untuk membuat cekodok hitam:

Tepung 500gram
Gula Merah
Garam secukup rasa

Gula merah dimasak dengan air untuk mendapatkan air gula yang bewarna hitam
Bancuh tepung dengan air gula merah, agak-agaklah jadi seaa melekit
Campur sedikit garam mengikut rasa
Goreng bancuhan dalam kuali

Sama je dengan cekodok biasa cara memasaknya. Cuma gantikan air dengan air gula merah yang telah dimasak. Untuk mendapatkan cekodok yang rangup, bancuh tepung dengan sedikit minyak panas terlebih dahulu. Dengan air panas pun boleh juga, gerenti cekodok itu rangup dan laku.