19 Oktober, 2011

Ikan Patin Temerloh

Minggu ini saya mengajar Pengetua dan Penolong Kanan sekolah di PKG Mentakab, saya tinggal di Hotel Jelai, Temerluh. Bandar Patin. Dalam perjalanan ke sini, selepas keluar tol Temerloh, banyak gerai-gerai kecil di tepi jalan yang menjual patin dan talipia segar. Balik nanti boleh beli sekilo dua.

Petang tadi lepas mengajar, Cikgu Ridhuan, Penolong Kanan Kokurikulum ajak minum cendol di Bandar Mentakap. Restoren mamak. Cendol dicampur agar-agar merah. Boleh tahan jugak. Lepas minum cendol, saya dengan kawan, Zorkarnain balik ke Temerloh, kira-kira 8 km dari Mentakap. Kami tidak ke hotel terus, sebaliknya merayau mencari kedai makan berhampiran sungai Temerloh.

Awalnya saya beritahu Zorkarnain, kita tengok-tengok kedai sahaja dulu sebab perut senak lagi baru minum cedol. Malam baru datang semula unuk makan. Sampai di kedai yang dicari, kami ubah fikiran, nafsu teruja untuk makan terus. Nanti malam tak payah keluar lagi, rasional kami. Kuat betul tarikan patin ini.

Kami minta nasi separuh pinggan. Zorkarnain ambil ekor patin, ekor terakhir yang dihidang. Pinggan satu lagi ada ekor patin juga, tapi patin buah.

Ada udang galah masak lemak. Tanya tuan kedai, harga RM 20 seekor. Teringat di Sarawak dulu mewah makan udang galah, RM 15 sekilo. Ada udang yang dituba dengan racun koko. Tapi bila dah merah menyala kulit udang digulai, racun koko pun tak apa. Pening-pening sikit lepas makan. Itu zaman muda-muda dulu.

Saya ambil ekor patin buah masak tempoyak. Ambik 2 potong petai, Zorkarnain ambik kerdas. Saya beritahu saya tak pandai makan kerdas.

Patin yang sudah dipanas semula dihidang kepada kami dalam 2 pinggan. Satu untuk saya, satu untuk Zorkarnain. Terasa pedas gulai tempoyak yang dimasak pekat. Sesuai sangat dengan selera saya dai Beranag dan Zolkarnain, orang Negeri Sembilan. Zolkarnain laju mencubit patin. Saya baru dua kali mengoyak daging patin yang melepak putihnya, Zolkarnain dah habiskan sebelah daging patin. Besar selera lebai ni.

Daging putih patin digulai tempoyak saya cubit sedikit-sedikit. Sayang kalau cepat habis. Kami makan berselera sekali petang ini. Lupa kenyang perut yang senak dengan cendol mamak di Mentakap.

Masa makan, seorang pun tidak bersuara. Takut hilang sesaat nikmat patin yang kenyal dikunyah. Memang sedap patin Temerloh. Celah-celah tulang patin ada darah merah, tanda segarnya patin yang dimasak. Sedap punya pasal, saya abaikan darah itu. Kuah tempoyak saya hirup, jauh sedap dari yang dimasak bibik di rumah.

Ada dengar peserta beritahu patin kukus tom yam di Temerluh. Patin Pak Usop tepi sungai laku 2 periuk besar sehari belum dicuba lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan