23 Oktober, 2011

Air Asam Ikan Bakar

Tengah hari tadi saya bakar ikan talipia yang saya beli di Temerloh, lepas habis beri kursus Persembahan Berkesan Menggunakan ICT. Sempat saya singgah ke Pasar Temerloh beli ikan patin dan talipia. Kata yang berniaga, ikan-ikan itu dipelihara dalam sangkar di Sungi Semantan.

Hari Jumaat malam lepas saya kukuskan seekor talipia. Anak sulung saya Aida makan sampai hirup kuah di pinggan. Tadi saya panggang seekor lagi talipia. Lumur talipia dengan kunyit, garam dan cili. Bungkus dengan daun pisang. Panggang atas api. Yang saya nak kongsi cara buat air asam.

Resepi ini saya ambil dari arwah emak. Memang sedap. Terasa pedas, manis dan masamnya. Kalau nak cuba, inilah caranya:

12 biji cili api
2 biji bawang kecil
1 mangkuk kecil air asam jawa
2 sudu gula
Garam secukup rasa
1 sudu kicap

Tumbuk bawang dan cili api sampai lumat. Masukkan dalam mangkuk.
Tuang air asam jawa. Masukkan gula. Kacau sampai gula hancur.
Masukkan garam. Lepas tu masukkan sedikit kicap.

Bilangan cili, air asam dan gula boleh disesuaikan ikut daya tahan dan cita rasa.

Cubalah sendiri. Kalau buat berniaga ikan bakar pun laku, insyaallah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan