08 Oktober, 2011

Talipia Goreng Masam Manis

Ikan talipia memang kegemaran saya semenjak kecil. Masa baru pindah ke Cheras Baru tahun 70an dahulu, saya dengan kawan-kawan kalau memancing di lombong, memang selalu dapat talipia. Kalau di lombong memang banyak ikan talipia hitam, tak ada talipia merah masa itu. Yang paling senang dapat pun memang ikan talipia. Tapi selalunya yang kecik-kecik. Bawak balik rumah, emak goreng berlada. Sesekali mak masak talipia gulai cili api pun sedap. Kalau pergi pasar sekarang ini, talipia adalah antara ikan yang paling murah. Kalau yang hitam dapat RM5 sekilo. Sama harga dengan ikan keli. Kalau talipia besar, lagi mahal harganya. Rasa talipia yang lebih besar memang lebih sedap. Tetapi yang popular sekarang talipia merah, mahal sedikit dari talipia hitam. Kalau yang besar boleh sampai RM 14 sekilo. Ramai yang suka makan talipia merah, tapi bagi peminat talapia hitam, rasanya memang lebih sedap dari talipia merah, kerana ada karektor tengit yang tersendiri. Peminat sahaja yang tahu.

Minggu lepas saya keringkan kolam ikan depan rumah. Saya bela talipia merah dengan patin. Ikan dalam kolam saya memang sedap sebab kolam simen, tapi tak tahan bela talipia sebab najisnya banyak. Teruk nak bersihkan kolam tiap-tiap minggu, air keruh jugak. Siang tadi adalah lagi stok talipia yang belum dimasak, saya goreng masam manis dua ekor. Memang tak cukup.

Cara memasak ikan talipia goreng masam manis

2 ekor talipia merah, perap dengan kunyit sekejap. Kalau buat cara cina, guna tepung jagung nak bagi ikan itu rangup
2 sudu cili mesin
2 sudu cili sos
2 sudu tomato sos
1 sudu sos tiram
sedikit tepung jagung
3 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1 sudu gula
Sedikit garam

Goreng ikan dalam kuali, dah masak asingkan ikan.
Bawang putih dan halia dicincang lumat. Tumis dalam kuali. Bila sudah tebit bau, masukkan 2 sudu cili mesin. Bila terbit minyak masukkan 2 sudu tomato sos dan cili sos. Kalau tak ada tomato sos, boleh juga masukkan sebiji tomato yang telah dilenyek sedikit. Kemudian masukkan sedkit sos tiram. Taburkan sesudu gula dan garam. Sebelum kering, masukkan 1/2 cawan air tepung jagung dan kacau. Bila sudah menggelegak, tuang atas ikan yang telah digorebg tadi. Memang sedap.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan