Memaparkan catatan dengan label tempoyak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label tempoyak. Papar semua catatan

19 Oktober, 2011

Ikan Patin Temerloh

Minggu ini saya mengajar Pengetua dan Penolong Kanan sekolah di PKG Mentakab, saya tinggal di Hotel Jelai, Temerluh. Bandar Patin. Dalam perjalanan ke sini, selepas keluar tol Temerloh, banyak gerai-gerai kecil di tepi jalan yang menjual patin dan talipia segar. Balik nanti boleh beli sekilo dua.

Petang tadi lepas mengajar, Cikgu Ridhuan, Penolong Kanan Kokurikulum ajak minum cendol di Bandar Mentakap. Restoren mamak. Cendol dicampur agar-agar merah. Boleh tahan jugak. Lepas minum cendol, saya dengan kawan, Zorkarnain balik ke Temerloh, kira-kira 8 km dari Mentakap. Kami tidak ke hotel terus, sebaliknya merayau mencari kedai makan berhampiran sungai Temerloh.

Awalnya saya beritahu Zorkarnain, kita tengok-tengok kedai sahaja dulu sebab perut senak lagi baru minum cedol. Malam baru datang semula unuk makan. Sampai di kedai yang dicari, kami ubah fikiran, nafsu teruja untuk makan terus. Nanti malam tak payah keluar lagi, rasional kami. Kuat betul tarikan patin ini.

Kami minta nasi separuh pinggan. Zorkarnain ambil ekor patin, ekor terakhir yang dihidang. Pinggan satu lagi ada ekor patin juga, tapi patin buah.

Ada udang galah masak lemak. Tanya tuan kedai, harga RM 20 seekor. Teringat di Sarawak dulu mewah makan udang galah, RM 15 sekilo. Ada udang yang dituba dengan racun koko. Tapi bila dah merah menyala kulit udang digulai, racun koko pun tak apa. Pening-pening sikit lepas makan. Itu zaman muda-muda dulu.

Saya ambil ekor patin buah masak tempoyak. Ambik 2 potong petai, Zorkarnain ambik kerdas. Saya beritahu saya tak pandai makan kerdas.

Patin yang sudah dipanas semula dihidang kepada kami dalam 2 pinggan. Satu untuk saya, satu untuk Zorkarnain. Terasa pedas gulai tempoyak yang dimasak pekat. Sesuai sangat dengan selera saya dai Beranag dan Zolkarnain, orang Negeri Sembilan. Zolkarnain laju mencubit patin. Saya baru dua kali mengoyak daging patin yang melepak putihnya, Zolkarnain dah habiskan sebelah daging patin. Besar selera lebai ni.

Daging putih patin digulai tempoyak saya cubit sedikit-sedikit. Sayang kalau cepat habis. Kami makan berselera sekali petang ini. Lupa kenyang perut yang senak dengan cendol mamak di Mentakap.

Masa makan, seorang pun tidak bersuara. Takut hilang sesaat nikmat patin yang kenyal dikunyah. Memang sedap patin Temerloh. Celah-celah tulang patin ada darah merah, tanda segarnya patin yang dimasak. Sedap punya pasal, saya abaikan darah itu. Kuah tempoyak saya hirup, jauh sedap dari yang dimasak bibik di rumah.

Ada dengar peserta beritahu patin kukus tom yam di Temerluh. Patin Pak Usop tepi sungai laku 2 periuk besar sehari belum dicuba lagi.

30 September, 2011

Bila isteri tidak sihat

Kak Nita tak sihat semalam. Lepas Isyak, terus tidur tak sempat makan. Takda selera. Suami kena kreatif. Turun dapur, cari ikan bilis, bawang. Cili api dah habis. Nasib ada cili kering yang dah dimesin. Apa lagi, panaskan kuali, ambil bawang kecil 2 biji, racik. Basuh ikan bilis. Bila minyak dalam kuali dah panas, campakkan ikan bilis. Bila ikan bilis dah garing, ketepikan, masukkan pulak bawang. Terbit bau, masukkan cili 2 sudu. Tunggu sekejap sampai naik minyak, gaulkan semula dengan ikan bilis. Tunggu sampai naik minyak.

Ada pulak masalah berlainan budaya makan. Saya suka tambah tempoyak pada sambal ikan bilis.Kak Nita tak suka. Terpaksalah buat 2 set. Bila sambal tadi sudah naik minyak, saya asingkan separuh ke piring lauk, tinggal separuh lagi atas kuali dengan api perlahan. Masukkan 2 sudu tempoyak, kacau lagi. Harum serumah dengan bau tempoyak.

Sudah siap kejutkan Kak Nita makan. Tengok sambal ikan bilis terus berselera. Yang paling kuat makan, Alya. Peminat sambal ikan bilis nombor satu. Dan saya menikmati sambal ikan bilis tempoyak sorang-sorang. Takda pewaris nampaknya setakat ini.

23 September, 2011

Gulai Udang

Udang memang sedap dimakan, tapi kena ingat kesannya. Kolestrol naik dan gout pun datang. Semalam pembantu saya, Lisa, masak gulai udang. Nasib baik dia jenis cepat belajar, ayahnya juga orang Minang, orang awak juo. Jadi gulai dia lebih kurang sama dengan gulai kito. Dulu, arwah emak sesekali campur tempe dengan gulai udang. Sedapnya. Kali yang lain pulak, gulai udang campur dengan tempoyak, pekat, tambah daun kunyit. Balik dari Sarawak dulu saya selalu bawa udang galah, mak masak campur tomato dalam gulai. Dah duduk Semenanjung, berkurun tak makan udang galah.

Bahan-bahan

Udang 1 kilogram
Kelapa 1/2 biji
Cili Api 15 tangkai
Bawang merah 3 biji (Kalau orang Negeri Sembilan tak guna bawang. Tumbuk cili dengan kunyit aje)
Kunyit hidup 1/2 inci
Serai 1 batang

Tumbuk cili, kunyit, bawang
Masukkan santan dalam periuk. Masukkan cili dan bawang yang telah ditumbuk. Kacau sampai pekat. Oleh kerana udang keluarkan air semasa dimasak, pastikan gulai pekat. Jangan bubuh air banyak sangat.
Lepas gulai mendidih, masukkan udang kejap.
Masukkan serai.
Tunggu sekejap sampai udang berubah warna, tutup api.

Kalau ada rebung, boleh tambah. Tempe pun sedap. Nak masam sikit masukkan tomato sebiji. Kalu masuk tempoyak, biar pekat. Sodap bang.