27 April, 2012

Esok saya tinggalkan Mersing. Macam tahun 1986 dulu, saya tinggalkan Mersing selepas 2 minggu bercuti di Pulau Tioman. Kali ini saya tinggalkan Mersing selepas 3 hari mengajar Pengetua dan Guru Besar Mersing.

Pertama kali saya datang ke Mersing, 26 tahun dulu. Mersing pekan yang kecil. Saya naik bas dari Kuala Lumpur jam 11 malam. Turun di Keluang jam 3 pagi pagi. Terkial-kial seorang diri di Stesyen Bas Keluang menunggu jam tujuh pagi untuk bas pertama ke Mersing. Sampai di Mersing, disambut ulat menjual chalet dan bot untuk ke Tioman.

Kali ini saya memandu ke Mersing. Jam 11 pagi dari Puchong. Ikut Lekas ke Kuala Pilah, Serting Ulu dan berhenti makan tengahari di simpang Bandar Muadzam. Makan nasi berlauk kari daging cincang. Lama dah tak makan daging cincang yang sedap. Saya sungguh berselera, walaupun panas makan di gerai berbumbung zink.

Dari Simpang Muadzam saya meneruskan perjalanan ke Rompin. Kiri kanan kelapa sawit lambai melambai. Tanah Felda. Lepas 2 jam saya sampai ke Rompin. Masuk jalan tepi pantai. Jalan luas 2 lorong, terus ke Endau. Saya sampai ke Mersing pukul 4.30. Kami singgah di PPD jumpa pegawai Latihan, En Jamaludin yang segak bergaya.

Selepas sedikit perbincangan, En Jamaludin mencadangkan kami tinggal di Hotel Timota atau Hotel Havanita. Ganjil-ganjil nama hotel di Tioman. Hotel Timota penuh, kami ke Hotel Havanita.

Kami menginap di Hotel Havanita yang nampak biasa, di tepi jalan menghala ke Endau. Satu km dari pekan Mersing. Semalam RM 140.00, goverment rate. Senang saya berulang alikke PPD lebih kurang 3 km. Tengah hari pun sempat balik hotel jamak zuhur dan asar.

Mersing sekarang sibuk, dah ada KFC dan Merry Brown. Semasa saya ke pekan lepas Isya' tadi, ramai yang beratur di KFC. Semalam hari gaji. Malam ni  alam Jumaat pulak.Senang pergi KFC, anak seronok, ibunya pun seronok tak payah masak. Si bapa lagi seronok, pelan lancar. Saya yang berjauhan dari keluarga ni tulis blog ajelah.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan