30 Disember, 2011

Shopping di Delhi


Shopping di India memang tak ingat dunia. Sana -sini jual kain saree. Paling banyak pilihan di Jaipur. Macam-macam barang ada. Kain saree yang harga sampai dua tiga ratus ringgit di Malaysia, boleh dapat antara RM50-80. Shwal pulak cenderamata wajib untuk sedara mara dan kawan-kawan. Shawl yang cantik jenis Pashmina, buatan bulu tenun dari Kashmir. Yang jual shawl di Delhi semua mengaku shawl dia orang jenis Pashmina.

Kebetulan bulan Disember musim sejuk di utara India, baju sejuk belambak-lambak dijual dengan harga yang sangat murah. Di Karol Bargh, kawasan perniagaan kaki lima seperti Pasar Malam di Jalan Tuanku Abdul Rahman, baju sejuk dijual secara lambak dengan harga RM8-15. Baju sejuk kain bulu.

Kalau nak pakaian berkualiti, cari di gedung. Semasa di Agra, lepas menziarah makam Taj Mahal dan Istana Shah Jehan, saya sempat singgah di sebuah gedung beli-belah. Tak ingat pulak namanya. Gedung in ibanyak jual baju sejuk kain dari kain bulu   berkualiti, brand Monte Carlo. Harga memang mahal sikit, sesuai dengan kualiti aju

Kain cotton memang murah dan berkualiti di India. Memang kapas dari India. Masa buat  last minute shopping di Market # 5, Farid Abad, sempat juga Kak Nita beli kain cotton untuk buat baju sekolah Aida dan Alya. Kainnya sangat lembut. Kalau buat kemeja untuk baju kerja pun cantik. Kain cotton berbunga untuk baju raya yang dijual di Kamdar RM 16 semeter boleh dapat RM 5 semeter. Sempat jugak Kak Nita beli kain cotton untuk baju kurung  raya tahun depan anak-anak.

Saya pun sempat beli baju kot (business suit) dua hela. Kain wool mix warna gelap striped. Kalau beli 4 pasang di Delhi pun belum tentu dapat beli satu sut harga di Malaysia. Kemeja dapat beli 2 helai dan sehelai seluar untuk pakaian kerja. Saya pun ada beli kain 1 suku meter untuk dibuat seluar.

Di Delhi ada banyak kedai kain frachise Raymond yang menjual kain untuk dibuat baju dan seluar lelaki.. Kedai kain jual fabrik untuk suit dan juga baju kot ready made pun ada. Di Raymond, kita juga  boleh beli sepasang fabrik untuk buat baju dan seluar. Siap dengan kotak lagi, sesuai untuk di jadikan hadiah.  Harga bawah RM 40 untuk sepasang fabrik baju dan seluar kerja.

Kalau tinggal lama di India, boleh terus hantar ke taylor di sana. Serkurang-kurangnya perlu tempoh satu minggu untuk siap satu sut. Kalau taylor tu tak faham bahasa Inggeris, cakap saja stiching, dia tahu apa yang kita mahu dia buat.

Di Raymond, saya berkenan fabric merino wool, kain corak petak dari bulu biri-biri kualiti terbaik untuk buat kot. Harga kain RM 500 untuk satu suit orang lelaki. Kalau ada rezeki ke India lagi, memang saya akan cari fabrik ini.

Kalau baca dekat blog, Vietnam pun murah nak tempah suit. Di Hoi Ann. Harga kain dan jahitan USD 70 hingga USD 200 ikut kualiti kain.

Beg terlebih berat di Airport

Ramai antara kita yang biasa mengalami keadaan ini. Seronok melancong dan bershopping di negara orang, bila nak balik bag terlebih berat. Biasanya kalau naik kapal terbang biasa, kita diberi 20kg berat luggage percuma. Kalau naik budget airline, kita beli dulu berat luggage. Contohnya Air Asia, kita boleh bayar lebih kurang RM 50 untuk 20 kilo pertama barang kita. Kalau rasa-rasa nak shopping sakan, kita boleh beli had luggage sampai 35 kilo dengan harga RM 75, kalau tak silap. Kalau tak beli dulu luggage, siaplah kena sembelih masa nak check in nanti.

Masa di Jawaharlal Airport, Delhi tempoh hari saya pun terkena juga. Salah satu sebab saya ke Delhi sebab kena bawa beg isteri yang dah sebulan di India. Penuh dengan kain saree, shawl dan baju sejuk untuk anak-anak. Bila dah puas shopping, siaplah nak bawak beg balik. Memang terlebih 20 kilo. Tambah pulak dengan buku  isteri dapat masa kursus berkilo-kilo.

Mulalah drama masa check in di Airport. Kami balik naik kapal asing. Saya balik lebih awal, naik Air Asia. Isteri saya balik lewat petang, naik Air India. Kapal sponsor leh kerajaan India. Kami sama-sama ke airport dari asrama isteri di Faridabad.

Di Delhi Airport, keselamatan sangat tinggi. Yang ada tiket saja boleh masuk airport. Kalau bukan penumpang tak boleh nak lepak kat airport, nak lambai-lambai macam dekat KLIA.

Saya terus check in dulu. Memanglah kena. Terpaksalah punggah barang keluar, timbang semula. Bila dia orang puas hati, baru dia bagi check-in. Isteri saya mula risau. Mana nak simpan barang yang dipunggah dari beg saya. Saya kata tak apa. Kita berlakon dulu. Lepas check-in, masuk balik barang yang dah dipunggah dalam hand-luggage saya.

Lepas tu check-in pulakluggage isteri saya. Nasib dengan kaunter Air India tak banyak sangat songeh. Kalau tak tak tahulah mana barang yang nak dibakul sampahkan.

Selesai semua, saya terus masuk boarding. Semua lancar sebab saya pegang tiket business kelas. Dapat offer upgrade premium class RM 180.00. Dalam kapal,duduk depan, sleeping bucket seat. Apalagi, landing habis seat tu, saya tidur lepas makan nasi briyani. Lena sampai LCCT.


19 Disember, 2011

Taj Mahal memang mahal

Saya sepatutnya ke India pada 8 December, 2011 untuk menziarahi isteri dan berbulan madu di Agra. Banyak sekali halangannya.

Dua minggu sebelelumnya saya sangat sibuk di pejabat dengan analisis kajian dan penganjuran simposium. Ini menyebabkan saya menangguhkan permohonanan visa saya di Kedutaan India. Satu kesilapan berharga RM 1010 untuk tiket Air Asia baru ke Delhi.  Saya pergi ke pejabat yang mengurus visa di Bangunan Straight Building, Leboh Pasar pada hari Selasa, 6 Disember. Sampai-sampai, bangunan ditutup. Cuti Muharram di India (Mereka cuti sempena 10 Muharram). Saya mula panik. Saya jangka saya buat visa pada hari Selasa dan hari Rabu boleh ambil Visa yang sudah siap diproses. Saya lebih terkejut lihat kenyataan di pintu bangunan menyatakan visa hanya boleh diambil selepas 3 hari bekerja. 

11 November, 2011

Nak buat perangai lama

Cuti sekolah ni ada peluang nak buat perangai lama. Isteri tengah berkursus di Faridabad, Delhi sampai 14 Desember. Insyaallah kalau ada peluang saya akan mengunjungi isteri awal Disember.

Perangai lama saya backpacking, merayau dari bandar ke bandar. Meninjau kedai ke kedai. Tinggal di hotel murah atau dorm yang berkongsi bilik air. Kali ini saya merancang ke Mumbai, Delhi mungkin sambung perjalanan ke Manali di kaki Himalaya.

Kalau tak ada aral, saya akan turun ke Mumbai, bandar cerita Hindustan. Tidur semalam, merayau dari pagi sampai ke petang esoknya dan naik keretapi sepanjang malam ke Delhi, lebih kurang 1500 km ke utara.

Rancangannya jumpa isteri di Jaipur kerana kumpulan mereka akan ke Jaipur dan Agra. Hampir sebulan tak jumpa bini, kelak bertemu di Jaipur, esoknya ke Agra menziarah makam Mumtaz Mahal. Hidup ini memang romantis.

Lepas dari Taj Mahal, isteri akan kembali ke asrama di Faridabad, meneruskan kursus. Saya dengan hoversack akan ke Delhi, kalau ada bas mungkin menyambung perjalanan ke Manali, negeri Hamchal Pradesh bermain salji. Kalau tak sempat, merayau saja di Delhi menyaksi menara bersejarah keunggulan pimpinan kerajaan Monggul. Kalau penat ayuverdic spa banyak menunggu.

23 Oktober, 2011

Air Asam Ikan Bakar

Tengah hari tadi saya bakar ikan talipia yang saya beli di Temerloh, lepas habis beri kursus Persembahan Berkesan Menggunakan ICT. Sempat saya singgah ke Pasar Temerloh beli ikan patin dan talipia. Kata yang berniaga, ikan-ikan itu dipelihara dalam sangkar di Sungi Semantan.

Hari Jumaat malam lepas saya kukuskan seekor talipia. Anak sulung saya Aida makan sampai hirup kuah di pinggan. Tadi saya panggang seekor lagi talipia. Lumur talipia dengan kunyit, garam dan cili. Bungkus dengan daun pisang. Panggang atas api. Yang saya nak kongsi cara buat air asam.

Resepi ini saya ambil dari arwah emak. Memang sedap. Terasa pedas, manis dan masamnya. Kalau nak cuba, inilah caranya:

12 biji cili api
2 biji bawang kecil
1 mangkuk kecil air asam jawa
2 sudu gula
Garam secukup rasa
1 sudu kicap

Tumbuk bawang dan cili api sampai lumat. Masukkan dalam mangkuk.
Tuang air asam jawa. Masukkan gula. Kacau sampai gula hancur.
Masukkan garam. Lepas tu masukkan sedikit kicap.

Bilangan cili, air asam dan gula boleh disesuaikan ikut daya tahan dan cita rasa.

Cubalah sendiri. Kalau buat berniaga ikan bakar pun laku, insyaallah.

Kak Nita hendak pergi India

Dua bulan lepas isteri saya minta izin untuk mohon Training Program on Fertilizer Quality Control di Faridabad, India selama sebulan 5 hari. Tanpa was-was, saya izinkan. Terperanjat Kak Nita. Tapi izin bersyarat. Mana tau nanti saya kena kursus ke luar negeri lagi, dia pun mesti bagi greenlight.

Saya izinkan sebab nak tingkatkan kerjaya, perlu ambil peluang yang boleh meningkatkan profesionalisme kita. Kena tambah nilai kita sebagai pegawai. Bila ada peluang tambah ilmu, kena rebut.

Isteri saya bertolak lepas raya haji. Selamat, tak payah balik kampung. Jimat bajet.

Nasib baik juga dah dekat cuti sekolah. Susah-susah duduk kat Cheras dengan abah. Masalahnya siapa pulak nak bagi arnab makan. Habis bunga yang kembang di taman tak bersiram.

Masalah yang paling besar nanti nak jemput bibik pagi-pagi buta sebelum saya pergi kerja. Pagi-pagi bibik takut datang sendiri. Dia kata banyak anjing. Saya pula kena keluar rumah sebelum 6.30 pagi untuk sampai ke pejabat di Genting Highlands sebelum jam 8.00. Nasib baik MRR2 tak sesak lagi di Pandan Indah.

Lama jugak sebulan 5 hari tu. Kesian pada anak-anak terutamanya Aira yang baru setahun tercari-cari mamanya. Papanya pulak sebulan peluk bantal. Apuu, kata orang Iban.

Ikan Tamban sedapkan Mee Goreng

Nak sedapkan mee goreng yang anda masak? Cuba tumbuk ikan tamban kering dan tumis dengan bawang dan cili. Kalau guna ikan tamban, tak payah guna air rebusan tulang pun mee anda masih sedap. Mesti habis laku mee goreng yang anda masak.

Caranya ambil 7 ekor ikan tamban. Selepas tumbuk bawang, anda boleh tumbuk ikan tamban ini hingga hancur. Ikan tamban yang telah ditumbuk hancur ini ditumis bersama bawang dan cili sebelum anda masukkan mee ke kuali.

Cubalah resepi ini. Ada juga yang gunakan ikan masin sebagai perencah mee goreng. Arwah emak dulu tumbuk udang hidup sebagai perencah untuk dtumis dengan bawang dan cili.