Cuti sekolah ni ada peluang nak buat perangai lama. Isteri tengah berkursus di Faridabad, Delhi sampai 14 Desember. Insyaallah kalau ada peluang saya akan mengunjungi isteri awal Disember.
Perangai lama saya backpacking, merayau dari bandar ke bandar. Meninjau kedai ke kedai. Tinggal di hotel murah atau dorm yang berkongsi bilik air. Kali ini saya merancang ke Mumbai, Delhi mungkin sambung perjalanan ke Manali di kaki Himalaya.
Kalau tak ada aral, saya akan turun ke Mumbai, bandar cerita Hindustan. Tidur semalam, merayau dari pagi sampai ke petang esoknya dan naik keretapi sepanjang malam ke Delhi, lebih kurang 1500 km ke utara.
Rancangannya jumpa isteri di Jaipur kerana kumpulan mereka akan ke Jaipur dan Agra. Hampir sebulan tak jumpa bini, kelak bertemu di Jaipur, esoknya ke Agra menziarah makam Mumtaz Mahal. Hidup ini memang romantis.
Lepas dari Taj Mahal, isteri akan kembali ke asrama di Faridabad, meneruskan kursus. Saya dengan hoversack akan ke Delhi, kalau ada bas mungkin menyambung perjalanan ke Manali, negeri Hamchal Pradesh bermain salji. Kalau tak sempat, merayau saja di Delhi menyaksi menara bersejarah keunggulan pimpinan kerajaan Monggul. Kalau penat ayuverdic spa banyak menunggu.